Assalamualaikum Wbt kepada semua muslimin dan muslimat yang sudi singgah di blog yang tidak seberapa ini. hari ini, saya berdepan dengan seorang ibu yang telah meluahkan perasaannya kepada saya. buat peringatan kita semua, saya selitkan kisah beliau. wanita ini sangat sedih dengan perbuatan anaknya yang tidak serius langsung akan masa depannya. sebagai bakal seorang guru, anaknya ini tidak bersyukur dengan segala kemewahan yang ditaburkan oleh ibubapanya. dia bergiat dalam kegiatan mencuri sejak setahun yang lalu di asrama sebuah maktab perguruan. namun bak kata pepatah,sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. kegiatan tidak bermoral itu dihidu pihak pentadbiran lalu sampai ke pengetahuan ibubapanya. akibat daripada itu, si anak lari daripada rumah kerana dibelenggu rasa bersalah dan malu. lalu, bersusah payah lah si bapa mencari di merata- rata tempat untuk berjumpa dengan anaknya itu. sesudah itu, institusi tempat anak wanita itu belajar menjatuhkan hukuman gantung institut selama satu semester atas kesalahan mencuri serta beberapa kesalahan lain iaitu memalsukan sijil cuti sakit dan ponteng kelas. bayangkanlah sudah berapa banyak dosa yang telah dilakukan oleh si anak kerana mencuri malah menipu ibubapanya dan pensyarah-pensyarah yang selama ini tulus dalam memberi ilmu kepadanya. berkatkah ilmu di dada si anak itu?. kata pengarah institut berkenaan, untuk mengelakkan hukuman itu, si anak perlulah membuat surat rayuan untuk mengurangkan hukuman.si anak sekali lagi membuat hal dengan meninggalkan rumah tampa keizinan ibubapanya sekaligus menyerahkan tugas membuat rayuan untuk meringankan hukuman ke atasnya kepada ibubapanya yang selama ini banyak berkorban untuknya.menurut si ibu, anaknya itu selalu ke luar negara bersama-same rakan-rakannya untuk berhibur dan tidak kurang juga dalam negara. dengan duit elaun sebanyak rm450 per semester, cukupkah bagi seseorang yang suka berseronok ditambah pula dengan duit minyak kerata, pakaian baru, telefon bimbit baru setiap minggu. bayangkanlah! namun, si bapa masih tetap pertahankan anaknya yang tidak sedar dek untung itu dengan mempertahankannya sehingga sanggup bertegang urat dan bertelagah dengan pegawai disiplin institusi tempat si ank belajar.sehingga sekarang, masalah ini masih belum selesai dan hanya tinggal beberapa hari saja lagi untuk membuat rayuan namun anaknya itu masih belum pulang. kerana kisah ini, saya berusaha untuk mencari tazkirah yang baik untuk tatapan anda semua. tazkirah ini diambil daripada laman sesawang www.brunet.bn Hayatilah bersama...
Dalam jalur hubungan secara mendatar di antara sesama manusia, dari segi tertib dan prioriti, hubungan dengan ibu bapa mempunyai martabat yang khusus dan tinggi. Bagi anak, dia hendaklah meletakkan pada kedudukan yang tinggi dan istimewa martabat kemuliaan ibu bapa dan wajib mendahulukan mereka sebelum orang lain dalam berbuat bakti selepas Allah Ta‘ala dan RasulNya. Kemuliaan dan ketinggian martabat ibu bapa itu bukan diangkat oleh siapa-siapa tetapi diangkat dan dimuliakan oleh Allah Subhanahu wa ta'ala, sehinggakan Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Keredhaan Allah terletak pada keredhaan bapa dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan bapa.”
(Hadits riwayat At-Tirmidzi)
Sebab apa Allah mengangkat martabat ibu bapa? Kerana ibu dan bapa sangat besar jasanya kepada kita. Tidak ada manusia di muka bumi ini yang lebih besar jasanya kepada kita selain ibu dan bapa. Dengan susah payah ibu kita mengandungkan dan melahirkan. Kemudian ibu bapa kita mengasuh, membesarkan, mendidik dan mencukupkan segala keperluan. Semua itu dilakukan dengan tulus ikhlas dan dengan rasa penuh kasih sayang.
Oleh itu, dalam membina hubungan sesama manusia, ibu bapa mestilah mendapat keutamaan lebih daripada orang lain. Sangat ganjil rasanya jika seseorang mempunyai hubungan yang baik dengan orang lain seperti kawan-kawan di pejabat, di sekolah dan sebagainya, akan tetapi hubungan dengan ibu bapa sendiri diabaikan, apatah lagi jika diderhakai.
Tuntutan berbuat baik kepada ibu bapa bukanlah berdasarkan adat atau kebiasaan yang diwarisi turun-temurun, akan tetapi ianya merupakan tuntutan syara‘. Islam menuntut supaya setiap orang berbuat baik kepada ibu bapa, dan hukumnya adalah fardhu ‘ain. Maknanya, apabila dihukumkan fardhu ‘ain maka setiap orang wajib berbuat baik kepada ibu bapanya sendiri, dan perkara berbuat baik kepada keduanya itu bukanlah suatu yang boleh diwakil-wakilkan kepada orang lain untuk melakukannya. Tuntutan ini banyak dijelaskan melalui dalil-dalil syara‘, di antaranya sebagaimana terkandung di dalam firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya :
“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘ah!’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah menghinakan diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurkanlah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
(Surah Al-Israa’, ayat 23-24)
Di dalam ayat yang lain Allah Subhanahu wa ta'ala berfirman yang tafsirnya :
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah.”
(Surah Al-Ahqaf, ayat 15)
Sementara dalil-dalil yang terdiri daripada hadits Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam yang menegaskan tentang perkara ini, di antaranya hadits yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr bin ‘Al-‘Ash, beliau berkata yang maksudnya :
“Seorang lelaki datang berjumpa Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam, beliau meminta izin untuk berjihad, lalu Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bertanya: “Adakah kedua ibu bapamu masih hidup?” Beliau menjawab: “Ya”, Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Maka kepada keduanyalah engkau berjihad (berbuat baik kepada keduanya dengan jiwa dan harta).”
(Hadits riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Hadits di atas memberi petunjuk hukum bahawa berbuat baik kepada kedua ibu bapa itu adalah lebih diutamakan berbanding tuntutan berjihad pada jalan Allah, kerana berjihad pada jalan Allah itu merupakan tuntutan fardhu kifayah (apabila sebahagian orang melakukannya maka gugurlah tuntutan kepada sebahagian yang lain), sedangkan berbuat baik dengan kedua ibu bapa itu merupakan tuntutan fardhu ‘ain, di mana setiap orang mesti melakukannya. Fardhu ‘ain lebih kuat atau lebih tegas tuntutannya berbanding fardhu kifayah. Oleh itu wajib bagi setiap orang berbuat ihsan kepada kedua ibu bapanya.
Bagaimana caranya berbuat baik itu?
Berbuat baik yang terkandung di dalam tuntutan ayat di atas mengandungi erti yang luas, meliputi apa saja perbuatan yang disebut baik, sama ada berupa perkataan, amal perbuatan, pandangan dan sebagainya. Melalui ayat di atas (Surah Al-Israa’, ayat 23-24) dicontohkan berbuat baik kepada kedua ibu bapa itu misalnya berkata dengan sopan santun, hormat, tidak menengking, merendahkan diri dengan kasih sayang dan mendoakan keduanya mudah-mudahan keduanya sentiasa dirahmati, dikasihi sebagaimana mereka mengasihi kita semasa kita masih kecil.
Dugaan yang berat yang sering dialami oleh anak ialah apabila ibu bapanya sudah terlalu tua dan tidak pandai menguruskan dirinya sendiri lagi. Dalam keadaan begini sianak perlu bersabar melayani kerenah mereka, jangan mudah melenting dan memarahi mereka, kerana yang demikian itu akan menyakitkan hati mereka. Apabila hati mereka terguris bermakna sianak sudah derhaka kepada mereka.
Salah satu di antara tanda-tanda di mana anak tergolong sebagai orang yang derhaka kepada ibu bapanya ialah mengakibatkan kedua mereka menangis, umpamanya melukai hati mereka sehingga menyebabkan mereka menangis. Ini jelas sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata yang maksudnya :
“Menyebabkan kedua ibu bapa menangis termasuk di antara perkara derhaka dan dosa-dosa besar.”
(Hadits riwayat Al-Bukhari dalam Kitab Al-Adab Al-Mufrad)
Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma berkata: “Yang dikehendaki dengan berbuat baik kepada keduanya hendaklah bersikap ramah dan lemah lembut, jangan menjawab dengan kasar, jangan memandang keduanya dengan pandangan yang tajam dan jangan meninggikan suara ke atas mereka
Tuesday, 12 April 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

RSS Feed (xml)
No comments:
Post a Comment